GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menahan 161 individu kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Subang Jaya sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, 143 individu lagi dikenakan kompaun RM1,000 selain 156 laporan diterima dengan 76 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB 1988) dan Akta Polis 1967.

“Ada juga siasatan yang dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Seramai 161 orang ditangkap dan diambil tindakan di atas kesalahan yang berkaitan perintah terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Risikin berkata, 68 individu yang ditahan adalah warga tempatan dan 93 lagi adalah warga asing terdiri daripada 147 lelaki dan 14 wanita.

“Sebanyak 25 kertas siasatan dibuka dan 57 pesalah sudah didakwa di Mahkamah Petaling Jaya, 92 orang masih dalam tahanan reman dan 12 lagi diberi jaminan polis.

“Sejak 6 April lalu sehingga semalam (kelmarin), kita turut mengeluarkan 143 notis kompaun RM1,000 kepada pengingkar PKP,” katanya.

Menurutnya, polis tidak akan mengeluarkan kompaun lagi dan mereka yang ingkar PKP akan terus ditangkap, direman dan dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

“Orang ramai diminta memberikan kerjasama penuh dengan mematuhi arahan semasa yang dikeluarkan kerajaan dan polis.

“Mereka yang mempunyai maklumat atau kemusykilan berkaitan PKP boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah OP Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627107/7108 atau balai polis berhampiran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:13 PM