FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


GABUNGAN Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) merayu kepada kerajaan mempertimbangkan pemberian geran bulanan selama tiga bulan selepas pendapatan pengusaha bas sekolah terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, pihaknya menyambut baik apa yang diumumkan Menteri Pendidikan semalam sebagai satu langkah bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Menurutnya, bagaimanapun pendapatan pengusaha bas yang berdaftar di seluruh negara membabitkan lebih 18,000 orang terjejas teruk sepanjang PKP ini.

“Saya merayu bagi pihak semua pengusaha bas agar kerajaan memberi geran bulanan sebanyak RM3,000 sebulan kerana mereka ini memperoleh pendapatan dari tambang bas.

“Jika ingin mendesak ibu bapa membayar tambang bas pun tidak boleh namun terpulang kepada mereka jika tetap ingin membayar sepanjang tempoh PKP ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rofiq berkata, inisiatif rangsangan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mungkin tidak kena dengan pengusaha bas yang tidak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pengusaha bas rata-rata meminta saya membuat sesuatu tambahan bulan Ramadan dan raya bakal menjelang tidak lama lagi.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mempunyai data jumlah pengusaha bas yang berdaftar di negara ini kerana mereka ini sudah menjalani latihan ICOP-Keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, melalui data itulah boleh digunakan jika kerajaan ingin memberi geran bulanan kepada mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 1:26 PM