Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) tidak akan mengawal kadar tambang baru yang mungkin dikenakan setiap pengusaha bas sekolah kepada ibu bapa bagi sesi persekolahan 2015 bermula Januari ini.

Presiden GPBSM Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata, sebarang kadar yang dikenakan adalah selaras dengan saranan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bahawa kadar tambang bas sekolah adalah berdasarkan persetujuan bersama antara pengusaha dan ibu bapa.

Katanya, pihaknya menjangkakan akan ada pertambahan kadar tambang bas sekolah bermula sesi persekolahan tahun baru nanti berbanding sebelum ini, namun peningkatan itu adalah atas persetujuan bersama pengusaha dan ibu bapa.

“Pengusaha bas sekolah akan berbincang dan mencapai kata sepakat sebelum memulakan perkhidmatan sesi persekolahan 2015.

“GPBSM tidak akan campur tangan atau mengawal kadar tambang bas sekolah yang dikenakan pengusaha kepada ibu bapa, namun kami akan memantau dan memberikan khidmat nasihat supaya kadar munasabah dan tidak membebankan ibu bapa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kekeliruan kalangan pengusaha bas sekolah terhadap kadar tambang selain memastikan ibu bapa mendapat penjelasan mengenai kadar tambang bas menjelang sesi persekolahan.

Menurutnya, ibu bapa boleh memilih perkhidmatan bas sekolah yang bersesuaian dengan keperluan mereka sama ada bas atau van berhawa dingin atau sebaliknya.

Beliau berkata, GPBSM bagaimanapun menggalakkan pengusaha menyediakan perkhidmatan mesra pelanggan dengan meningkatkan lagi perkhidmatan disediakan termasuk menggunakan aplikasi Whatsapp.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 18,000 pengusaha bas sekolah dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang bernaung di bawah GPBSM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:45 AM