Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof. FOTO Mohd Amin Jalil.
Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


"SAYA berharap ada sokongan dan bantuan sesuai dapat diberikan dalam usaha meringankan beban 21,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara," kata Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof.

Beliau berkata, pengusaha bas sekolah berdepan tekanan apabila ada dalam kalangan mereka yang terbeban untuk membayar gaji pemandu selepas kenderaan tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Menurutnya, sebahagian besar pengusaha juga tidak menerima bayaran bulanan daripada ibu bapa kerana tiada perkhidmatan bas sekolah dijalankan sepanjang sekolah ditutup.

"Situasi itu memang memberi tekanan kepada pengusaha bas sekolah kerana sumber pendapatan mereka terjejas.

"Pada masa sama, ada pengusaha yang perlu membayar ansuran bulanan dengan syarikat kredit yang memberikan mereka pinjaman berbanding pinjaman dengan bank yang mendapat kelonggaran.

"Kami sudah menyuarakan perkara ini kepada Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri. Kami harap, ada pertimbangan sewajarnya dapat dibuat supaya bantuan bersesuaian dapat diberikan kepada pengusaha bas sekolah," katanya hari ini.

Mohd Rofik berkata, pihaknya berharap, bantuan sekali bayar RM3,000 dapat disalurkan kepada pengusaha bas sekolah bagi membantu mereka melunaskan gaji pemandu.

Menurutnya, pihaknya bimbang, tanpa bantuan sewajarnya kepada pengusaha bas sekolah, ia akan memberi kesan jangka panjang terutama daripada segi menyediakan perkhidmatan kepada pelajar dan murid sekolah pada masa depan.

"Pengusaha bas sekolah hanya bergantung sepenuhnya kepada bayaran daripada ibu bapa, namun situasi itu tidak berlaku.

"Dalam hal ini, kami harap ada jalan penyelesaian yang terbaik untuk kepentingan pengusaha bas sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rofik juga meminta pihak berkuasa mengecualikan sementara pemeriksaan bas sekolah di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sehingga akhir tahun ini.

"Ini juga dapat meringankan sedikit beban pengusaha bas sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:24 PM