GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


“NAK bayar atau tidak terserah kepada budi bicara ibu bapa. Kami tidak boleh memaksa,” kata Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan ibu bapa mengenai pembayaran yuran bulanan perkhidmatan bas sekolah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pengusaha dan pemandu bas sekolah adalah antara golongan terjejas kerana PKP.

“Kita tidak boleh lupa pengusaha bas juga mempunyai tanggungan masing-masing. Pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada yuran bulanan untuk menampung kehidupan.

“Pengusaha bas berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan manakala pemandu bas antara RM1,500 ke RM1,800 sebulan. Selepas PKP dilaksanakan, mereka tiada punca pendapatan untuk membeli barang keperluan seperti makanan dan sebagainya.

“Lebih menyukarkan sekarang ini, PKP dilanjutkan dan sesi persekolahan juga tidak tahu bila akan bermula,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Berikutan itu, Mohd Rofik berkata, pihaknya merayu bantuan daripada kerajaan, sebagaimana yang diterima syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau mendakwa pengusaha bas tidak layak menerima bantuan yang diperuntukkan kerajaan melalui Geran Khas Prihatin kepada syarikat PKS mikro yang berkelayakan.

“Saya ada menghubungi beberapa institusi kewangan untuk mendapat penjelasan mengenai perkara itu dan dimaklumkan pengusaha bas tidak layak, namun boleh membuat pinjaman tanpa faedah.

“Saya berharap kerajaan juga memberikan geran khas RM3,000 kepada kira-kira 10,000 pengusaha bas berdaftar. Melalui bantuan itu akan dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Katanya, bantuan itu boleh disalurkan dengan pelbagai kaedah sama ada menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau GPBSM yang mempunyai data pengusaha bas di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 5:42 PM