MOHD Rofik Mohd Yusof, Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM). FOTO Mohd Amin Jalil.
MOHD Rofik Mohd Yusof, Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM). FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


SEBAHAGIAN besar pengusaha bas sekolah ketika ini tersepit selepas ramai dalam kalangan ibu bapa enggan melunaskan bayaran yuran bulanan perkhidmatan diberikan.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, kadar bayaran dikenakan antara RM80 hingga RM100 sebulan bergantung kepada jarak perjalanan.

Beliau berkata, keengganan ibu bapa atau penjaga melunaskan bayaran itu menjejaskan kepentingan pengusaha bas sekolah.

“Ketika ini sebahagian besar daripada 20,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara berdepan kesukaran untuk mendapatkan tambang bulanan kerana ibu bapa enggan menjelaskan bayaran sepatutnya mereka lakukan setiap bulan.

“Pengusaha bas sekolah hanya bergantung kepada bayaran bulanan diterima untuk menampung kehidupan diri dan keluarga mereka.

“Saya berharap, ibu bapa atau dapat melunaskan bayaran itu dan bayaran boleh dilakukan melalui atas talian,” katanya di Seremban, hari ini.

Mohd Rofik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) berkata, pihaknya menerima aduan daripada ahli GPBSM mengenai masalah berkenaan.

Beliau berkata, walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini menyebabkan bas sekolah tidak beroperasi, yuran bulanan perlu dijelaskan kerana ia sudah dipersetujui dan ditetapkan pada awal sesi persekolahan.

“Pengusaha bas sekolah tidak seperti bas ekspres dan perkhidmatan mereka sediakan itu lebih kepada kebajikan.

“Saya berharap ibu bapa dapat berhubung dengan pengusaha bas sekolah digunakan mereka untuk membuat pembayaran berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 2:40 PM