PRESIDEN Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof. FOTO Mohd Amin Jalil
PRESIDEN Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


PENGUSAHA bas sekolah berpeluang menambah pendapatan apabila turut menyediakan perkhidmatan bas tambahan sempena perayaan Tahun Baru Cina (TBC).

Sebanyak 100 bas tambahan disediakan Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) sepanjang musim perayaan itu, bagi membantu orang ramai bercuti panjang.

Presiden GPBSM, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, berikutan cuti TBC kali ini jatuh pada hujung minggu, permintaan terhadap perkhidmatan bas meningkat.

Beliau berkata, perkhidmatan bas tambahan akan membabitkan perjalanan bermula esok sehingga akhir bulan ini.

“Permintaan tinggi diterima bagi perjalanan ke Pantai Timur yang membabitkan lebih 50 bas berbanding perjalanan ke selatan dan utara.

“Semua pihak terbabit dalam penyediaan perkhidmatan bas tambahan sudah mematuhi peraturan ditetapkan, termasuk memiliki Lesen Perubahan Sementara (LPS).

“Sehingga kini perkhidmatan disediakan berjalan lancar, malah bagi sesetengah pengusaha, mereka sudah membuat pemeriksaan terhadap kenderaan masing-masing di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika ditemui di Seremban,” hari ini.

Mohd Rofik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) berkata, pihaknya sudah mengingatkan semua pengusaha bas tambahan supaya mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, selain memiliki lesen LPS, mereka perlu menyediakan dua pemandu bagi perjalanan jauh.

Mengulas mengenai kadar tambang, beliau menjelaskan terdapat sedikit kenaikan antara RM2 hingga RM5 bagi satu perjalanan bergantung kepada destinasi ditujui.

“Kenaikan kadar tambang itu adalah seperti ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Puspakom Negeri Sembilan di Senawang, mendapati kesesakan berlaku di pusat pemeriksaan itu.

Difahamkan kesesakan berlaku sejak Jumaat lalu berikutan terlalu ramai pemilik yang membawa kenderaan masing-masing untuk pemeriksaan sempena TBC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 4:01 PM