GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


GABUNGAN Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) menyediakan 200 bas tambahan untuk membolehkan orang ramai dapat pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Presiden GPBSM, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, permintaan tinggi diterima bagi destinasi ke Pantai Timur iaitu lebih 80 bas disediakan berbanding ke utara dan selatan.

Katanya, semua pengendali bas tambahan berkenaan mematuhi peraturan ditetapkan termasuk memiliki Lesen Perubahan Sementara (LPS).

“Setakat ini, perkhidmatan yang disediakan pengusaha berjalan lancar dan tiada pelanggaran undang-undang serta peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Kita mengingatkan semua pengusaha bas tambahan supaya mematuhi peraturan ditetapkan termasuk menyediakan pemandu ganti terutama membabitkan perjalanan jauh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kadar tambang pada musim perayaan, Mohd Rofik tidak menafikan berlaku sedikit kenaikan kadar tambang berbanding hari biasa tetapi masih berpatutan.

Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan ulat tiket yang menjual tiket palsu atau tiket pada harga dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi.

“Meskipun ada anggota penguat kuasa yang memantau, namun kemungkinan masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Orang ramai perlu berhati-hati terutama mereka yang ingin pulang ke kampung pada saat akhir akan mudah terjerat dengan ulat tiket,” katanya.

Mohd Rofik turut mengingatkan penumpang agar berada di terminal bas 30 minit lebih awal untuk memastikan jadual perjalanan tidak terganggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 4:34 PM