Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pelbagai jenis jeruk buah-buahan yang menggunakan gula melaka atau 'nise' sebagai bahan utama menjadi pilihan penggemar sepanjang Ramadan ini.

Melihat aneka jeruk mempunyai rasa masam, manis, pedas dan masin yang diletakkan di dalam tong pasti membuatkan peminatnya 'kecur' air liur.

Penggemar tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati jeruk ini yang diproses bersama nise, cili dan gula putih sebelum digaul bersama aneka buah-buahan yang sudah dipotong.

Peniaga jeruk, Rohani Hashim, 56, atau lebih dikenali sebagai Kak Ani berkata, selain makanan, kuih-muih dan colek, orang ramai juga mencari jeruk untuk dijadikan sebagai juadah moreh selepas solat tarawih.

Katanya, jeruk ini juga antara makanan sampingan sebagai pembuka selera bagi mereka yang mengidam atau tidak sihat.

"Alhamdulillah, jeruk nise yang saya buat mendapat sambutan menggalakkan terutama di bulan ini.

"Sebanyak 14 jenis buah segar digunakan untuk dibuat jeruk termasuk asam jawa atau celagi, nanas, anggur, sentul, belimbing buluh, buah asam paya atau kelubi, salak, cermai, kedondong, mangga dan buah bidara.

"Untuk menghasilkan jeruk, saya menggunakan lebih 100 kilogram (kg) buah-buahan setiap hari yang dibeli di pasar utama dan juga dihantar oleh pemborong," katanya ketika ditemui di Kampung Cherang, di sini.

Rohani menunjukkan jeruk buah-buahan menggunakan gula nise ketika ditemui di Kampung Cherang di sini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI
Rohani menunjukkan jeruk buah-buahan menggunakan gula nise ketika ditemui di Kampung Cherang di sini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI

Ibu kepada enam anak itu berkata, dia memproses jeruk hampir setiap hari kerana produk berkenaan laris dan habis dijual.

Menurutnya, gerainya menerima kunjungan ramai termasuk penggemar dari luar Kelantan yang tidak melepaskan peluang untuk merasai jeruk air tangannya.

"Mereka sanggup datang dari jauh, yang mengambil masa perjalanan lebih satu jam. Untuk tidak mengecewakan orang ramai, saya akan memastikan buah-buahan yang digunakan mencukupi dan dapat menampung permintaan.

"Saya bersyukur kerana setakat ini menerima komen positif daripada penggemar dan mereka akan datang lagi untuk mendapatkan jeruk," katanya yang mula berniaga jeruk sejak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 5:08 PM