PEMAKANAN tidak seimbang punca penyakit kencing manis.
PEMAKANAN tidak seimbang punca penyakit kencing manis.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

'ELAKKAN makan banyak buah-buahan manis kerana ia boleh menyebabkan penyakit kencing manis'.

Momokan seperti ini sering didengari hingga membuatkan mereka yang tidak menghidap kencing manis berasa takut makan buah-buahan manis seperti mangga, pisang, anggur, tembikai dan longan.

Mereka bimbang paras gula dalam darah akan meningkat seterusnya mencetuskan penyakit kencing manis.

Diketahui umum buah-buahan adalah sejenis karbohidrat dan mengandungi fruktosa.

Pegawai Dietatik Hospital Pakar An-Nur, Nurul Zulaika Habib Rahman berkata, tiada halangan bagi individu yang tidak mempunyai penyakit kencing manis untuk makan buah-buahan.

"Buah-buahan manis bukanlah penyebab tercetusnya penyakit kencing manis. Faktor risiko penyakit ini ialah disebabkan berat badan berlebihan, sejarah keluarga, kencing manis tidak terkawal semasa hamil dan amalan pemakanan tidak seimbang," katanya.

Kata Nurul Zulaika, saranan pengambilan buah-buahan bagi individu normal adalah dua hingga tiga hidangan sehari, yang satu hidangan buah bersamaan dengan satu genggam tangan.

"Bagaimanapun, pesakit kencing manis perlu mengehadkan pengambilan buah-buahan kerana pengambilan fruktosa yang banyak dalam satu-satu waktu boleh meningkatkan aras bacaan glukosa darah.

"Oleh itu, pesakit kencing manis hanya boleh mengambil buah-buahan ini dengan sukatan sebanyak dua hidangan sehari sahaja atau bersamaan dengan dua genggam.

"Akan tetapi, pengambilannya perlu diasingkan dan tidak boleh diambil dua hidangan sekali gus. Maksimum pengambilan buah dalam satu masa adalah satu hidangan sahaja," katanya.

PESAKIT kencing manis boleh menikmati epal merah dan hijau mengikut konsep pengambilan buah yang betul.
PESAKIT kencing manis boleh menikmati epal merah dan hijau mengikut konsep pengambilan buah yang betul.

Tahap kemanisan sesuatu buah-buahan ini sebenarnya bergantung kepada proses masak atau ranum buah-buahan itu.

"Jadi jangan sesekali mengukur berdasarkan rasa, kemasaman atau kemanisan buah-buahan ini. Sebaliknya, gunakan cara yang betul iaitu dengan sukatan hidangan," katanya.

Nurul Zulaika berkata, kebanyakan pesakit diabetes hanya mengambil epal hijau dan 'berpantang' epal merah kerana epal itu (merah) dikatakan manis berbanding epal hijau.

"Konsep ini salah dan sebenarnya mereka boleh menikmati kedua-dua jenis epal ini dengan mengikut konsep pengambilan buah yang betul.

"Buah-buahan dikategorikan sebagai antara sumber karbohidrat dan sebab itu pesakit kencing manis perlu lebih berhati-hati dalam pengambilannya," katanya.

Kata Nurul Zulaika, ini kerana jumlah karbohidrat yang dimakan boleh memberi kesan terhadap bacaan aras gula darah.

"Bacaan gula dalam darah yang tinggi (hiperglisemia) boleh menyebabkan komplikasi lain yang serius seperti kerosakan saraf (neuropati), kerosakan retina mata (retrinopati) dan kerosakan buah pinggang (nefropati)," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Zulaika mengulas tindakan mengambil buah-buahan semata-mata sebagai gantian makan malam, jelasnya ia adalah cara yang tidak digalakkan kerana tubuh memerlukan nutrien lain.

"Amalan pemakanan yang betul ialah memerlukan tiga hidangan lengkap setiap hari iaitu sarapan, makan tengah hari dan malam.

"Dalam setiap hidangan itu pula, perlu mengikut konsep Suku Suku Separuh iaitu suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur serta buah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 6:30 AM