Mohamed Farid Noh


TERDAPAT anggota dan pegawai agensi penguat kuasa dikesan bersekongkol dengan 10 dalang sindiket penyeludupan manusia yang dikenal pasti di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengenalpasti 20 sindiket penyeludupan manusia termasuk dalang membabitkan warga tempatan dan Indonesia.

Katanya, semua sindiket dan dalang berkenaan dikesan sejak Operasi Pintas Bersepadu Selatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dimulakan minggu lalu.

"Dalang yang dikenal pasti itu ada kedudukan dan bersekongkol bukan saja dengan orang awam, malah ada juga dalam kalangan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa.

"Jangan terkejut kalau ada tangkapan dibuat dalam masa terdekat, kita tidak akan bertolak ansur terhadap pengkhianatan kepada negara," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada usaha menangkap tekong yang memainkan peranan dalam menjalankan kegiatan jenayah penyeludupan migran.

"Sebelum ini kebanyakan tangkapan membabitkan migran, tetapi kini kita memberi tumpuan kepada memburu tekong laut dan darat.

"Kita yakin langkah ini akan dapat menyekat kemasukan migran ke negara ini, lebih-lebih lagi sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan kerajaan nanti, kita jangka lebih ramai pendatang asing tanpa izin (Pati) akan cuba memasuki Malaysia," katanya.

AYOB Khan ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
AYOB Khan ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai khususnya pemilik kediaman, pemilik tanah dan pemandu teksi untuk tidak bersekongkol dengan menyediakan penginapan dan pengangkutan kepada sindiket terbabit.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, seramai 20 tekong dan 24 migran ditahan menerusi sembilan serbuan yang dijalankan antara 22 April hingga Isnin lalu.

"Tekong yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta sembilan lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

"Manakala migran yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia berusia antara 19 hingga 31 tahun," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 4:32 PM