Mohamed Farid Noh


POLIS menahan 15 lelaki dan lima wanita yang sedang berjudi dan berhibur ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kondominium mewah di Johor Bahru, tengah hari semalam.

Serbuan 12 tengah hari itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hasil makluman awam serta risikan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka membabitkan 13 lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura, seorang lelaki warga Thailand serta lima wanita Vietnam berumur 19 hingga 66 tahun.

“Kami merampas dua pembesar suara, dua televisyen, dua mikrofon, wang tunai RM56,400, 52 keping daun terup, ketamin seberat 34 gram serta syabu seberat 17 gram.

“Semakan mendapati tujuh daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan judi, pelacuran dan dadah manakala 12 daripadanya positif syabu serta ketamin.

“Mereka menjadikan kondominium yang diubah suai itu sebagai tempat berhibur dan berjudi bagi mengaburi mata polis terutama dalam tempoh PKP,” katanya.

AYOB Khan (tengah) melihat barang kes yang berjaya dirampas. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
AYOB Khan (tengah) melihat barang kes yang berjaya dirampas. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kesemua suspek dibawa ke IPK Johor untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 serta Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 10:15 PM