AYOB Khan menunjukkan gambar suspek tekong yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan warga asing. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
AYOB Khan menunjukkan gambar suspek tekong yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan warga asing. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Mohamed Farid Noh


DUA tekong warga Indonesia ditahan ketika sedang cuba menyeludup 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) keluar di Hutan Ladang Kurnia, Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan dua tekong serta 23 Pati warga Indonesia berkenaan dilakukan hasil soal siasat terhadap dua tekong laut yang ditahan di Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, Rabu lalu.

“Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di Hutan Ladang Kurnia, Bandar Penawar, pada 7 petang Sabtu lalu.

“Selain dua tekong itu yang masing-masing berusia 28 dan 39 tahun, polis turut menahan 23 Pati warga Indonesia membabitkan 18 lelaki dan lima wanita berusia antara 20 hingga 49 tahun.

“Polis turut merampas dua telefon bimbit, wang tunai RM4,000 dan 1.95 juta Rupiah (RM537.59).

“Hasil soal siasat mendapati dua tekong berkenaan adalah anggota sindiket penyeludupan manusia yang aktif sejak tiga bulan lalu dan menjadikan Kota Tinggi sebagai pintu keluar masuk menyeludup masuk dan keluar Pati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dua tekong berkenaan direman 28 hari bermula semalam sehingga 9 Mei depan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kesemua 23 PATI ditahan reman 14 hari bermula semalam hingga 25 April mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua dua tekong dan 23 PATI itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Peraturan 11 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Beliau berkata, polis juga sedang mengenal pasti beberapa lagi dalang kepada sindiket penyeludupan migran, hasil soal siasat dua tekong berkenaan dengan tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 4:31 PM