Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


SINDIKET penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Johor mengaut hasil lumayan apabila meraih RM5.43 juta dalam tempoh dua tahun lima bulan aktif beroperasi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pendapatan lumayan berkenaan menyebabkan sindiket penyeludupan Pati yang didalangi rakyat tempatan dan Indonesia terus berani mencabar undang-undang dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, pendapatan lumayan sindiket penyeludupan Pati ini terbongkar dalam siri operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan 7 Briged Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Johor antara 19 Mei hingga semalam.

"Dalam operasi pertama dilancar 7 Briged ATM Johor pada 25 Mei lalu di Ladang Sungai Tengah dan Ladang Tembikai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi membawa kepada penahanan 17 Pati Indonesia berusia antara 22 hingga 41 tahun yang cuba menyusup keluar dari negara ini.

"Satu lagi operasi susulan dilakukan pada 26 Mei lalu di gugusan FELDA Adela, Kota Tinggi, hasil soal siasat dijalankan JSJ Johor yang membawa penangkapan tiga tekong membabitkan seorang rakyat tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 30 hingga 52 tahun selain tujuh migran warga Indonesia berusia antara 19 hingga 38 tahun.

"Seorang tekong warga Indonesia dari Lombok yang berusia 47 tahun turut mengakui berjaya menyeludup kira-kira 250 Pati setiap bulan dengan bayaran RM750 seorang sejak terbabit secara aktif pada 2018 ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, JSJ Johor melancarkan satu lagi serbuan di FELDA Papan Timur, Kota Tinggi pada 27 Mei lalu yang membawa kepada penahanan lapan lagi tekong warga Indonesia berusia antara 21 hingga 47 tahun.

Katanya, turut ditahan tujuh migran Indonesia berusia antara lima hingga 31 tahun.

"Sementara itu, JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian membuat satu lagi serbuan di Kampung Sungai Buntu, Penerok, Pontian dan menahan dua tekong rakyat tempatan berusia antara 56 hingga 64 tahun.

"Hasil tiga operasi serbuan, polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga, 30 telefon bimbit, wang tunai RM990 selain wang tunai dalam mata wang Rupiah sebanyak 755,000 (RM224.44)," katanya.

Ayob Khan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007; Seksyen 26H ATIPSOM 2007; Seksyen 26J ATIPSOM 2007; Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Johor turut menahan 82 tekong serta 149 Pati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan Pati boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:37 PM