DUA tekong yang juga Pati serta kereta yang dirampas. FOTO Ihsan ATM.
DUA tekong yang juga Pati serta kereta yang dirampas. FOTO Ihsan ATM.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA tekong warga Indonesia yang dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kedua-dua tekong berkenaan yang juga Pati itu ditahan di Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi oleh pasukan Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61-RAD) pada 9 pagi.

"Tangkapan itu hasil maklumat penduduk tempatan yang melihat sebuah kereta Proton Wira Aeroback berhampiran lokasi berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil maklumat itu, sepasukan anggota pasukan 61 RAD diketuai oleh Mejar Paiman Mat Don diarahkan melakukan rondaan di kawasan terbabit sebelum menahan dua Pati berkenaan yang dipercayai berperanan sebagai tekong," katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa Pati keluar dari kawasan terbabit turut dirampas.

"Turut dirampas tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM949 dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM7,000.

"Dua Pati yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Damai untuk tindakan lanjut sebelum pemeriksaan Covid-19 dibuat di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi, Johor untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 3:47 PM