ANTARA PATI warga Indonesia yang ditahan selepas cuba memasuki negara dalam tangkapan di sekitar Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. FOTO Ihsan ATM
ANTARA PATI warga Indonesia yang ditahan selepas cuba memasuki negara dalam tangkapan di sekitar Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. FOTO Ihsan ATM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Cubaan 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia untuk memasuki negara ini gagal selepas mereka ditahan di sekitar Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataannya berkata, tangkapan dalam sektor Operasi Benteng di bawah kawasan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) itu dilakukan pada jam 4.30 pagi.

"Tim Quick Reaction Force (QRF) digerakkan untuk membuat penjejakan hasil maklumat Tim Drone Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) yang mengesan pergerakan mencurigakan di sekitar Ladang Kurnia pada jam 3.45 pagi.

"Hasil serbuan itu, seramai 17 Pati terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia antara 19 hingga 43 tahun yang baru tiba dari Indonesia ditahan," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas wang tunai berjumlah RM1,328 dan wang tunai mata wang Indonesia 7,009,000 Rupiah (RM2,043) bersama 14 telefon bimbit dan tiga jam tangan menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM8,470.

"Semua Pati yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

"Laporan polis berhubung tangkapan itu dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pada masa sama, pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki Pati di sekitar kawasan tangkapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 2:44 PM