AYOB Khan (kanan) ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
AYOB Khan (kanan) ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


POLIS Johor sedang mengenal pasti anggota dan pegawai agensi penguat kuasa yang bersubahat dengan sindiket membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima beberapa maklumat berkaitan perkara itu dan tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat.

“Kita sedang mengesahkan maklumat pembabitan anggota dan pegawai terbabit dan hanya menunggu masa untuk menangkap mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Benda seperti ini (anggota dan pegawai bersubahat dengan sindiket Pati) sudah terlalu lama berlaku sehingga mendedah negara kepada ancaman.

“Mereka ini adalah pengkhianat negara. Saya tidak kira sama ada mereka ini polis, tentera atau Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia). Tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, beliau memandang serius pembabitan anggota dan pegawai penguat kuasa bersekongkol dengan sindiket Pati apatah lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Barisan hadapan negara bertungkus-lumus mengekang penularan wabak Covid-19 dalam negara namun pengkhianat negara ini membawa masuk ancaman terhadap wabak penyakit itu ke dalam negara.

“Tindakan ini langsung tidak boleh dimaafkan. Saya beri amaran keras kepada semua anggota dan pegawai agensi penguat kuasa, tiada kompromi jika mereka ditangkap selepas ini, ” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, polis berjaya menahan dua tekong laut warga tempatan yang sedang menyeludup lima Pati di Pantai Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, kira-kira jam 3 pagi, Rabu lalu.

Katanya, kedua-dua tekong laut berkenaan berusia 32 dan 45 tahun ini ditahan dalam operasi yang dilancarkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

“Lima Pati membabitkan seorang lelaki dan empat perempuan berusia antara 24 hingga 41 turut ditahan.

“Menerusi soal siasat, Pati membayar antara RM800 hingga RM1,500 seorang kepada sindiket sebelum diseludup dan dibawa masuk menerusi laluan tikus di Tanjung Pengelih, Kota Tinggi dengan sindiket sudah beroperasi sejak Disember lalu.

“Semua sudah diaturkan sindiket termasuk majikan dan pengangkutan untuk membawa mereka menerusi laluan darat pula kepada majikan masing-masing.

“Dua bot, dua enjin, satu telefon bimbit dan dua tong petrol turut dirampas dalam operasi berkenaan, ” katanya.

Beliau berkata, dua tekong berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran ( ATIPSOM) 2007 manakala lima pati berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 2:46 PM