FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohamed Farid Noh


SEORANG maut dan seorang hilang selepas sebuah bot pancung membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) terbalik di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, bot membawa Pati warga Indonesia itu terbalik selepas melanggar bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dalam insiden berkenaan juga tiga tekong dan tiga lagi Pati diselamatkan.

Katanya, PPM Wilayah Dua yang berkawal dalam dalam Ops Covid-19 Shield menerima maklumat penyeludupan keluar imigran sebelum melancarkan operasi khas mengesan mereka.

“PPM Wilayah Dua yang menggunakan bot ronda marin PSC48dan RH32 kemudian berjaya mengesan bot pancung berkenaan sebelum bertindak menghampirinya di kawasan Kampung Masjid, Teluk Ramunia.

“Bagaimanapun, bot pancung berkenaan memecut laju sebelum dikejar selama 20 minit.

“Bot pancung berkenaan tiba-tiba melanggar bot ronda marin PSC48 menyebabkan ia terbalik dan kesemua penumpang bot itu jatuh ke dalam laut, ” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ayob Khan berkata, anggota PPM Wilayah Dua berjaya menyelamatkan enam lelaki Indonesia manakala seorang warga negara itu didapati meninggal dunia akibat pelanggaran itu dengan seorang lagi lelaki Indonesia masih hilang.

Katanya, akibat kejadian itu bot ronda PSC48 mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala kesemua tahanan dan bot pancung dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua.

“Siasatan kes berkenaan dibantu Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala operasi mengesan mangsa hilang diteruskan.

“Tiga tekong warga Indonesia berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari manakala tiga PATI berkenaan pula ditahan selama dua minggu mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ayob Khan berkata, siasatan awal mendapati bot pancung berkenaan dinaiki lapan Pati dengan tiga daripadanya adalah tekong yang menguruskan kemasukan migran secara haram ke dalam negara ini.

“Ketiga-tiga tekong itu berasal dari Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia akan turut disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) kerana menjalankan penyeludupan migran.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/60, Seksyen 307 Kanun Keseksaan selain Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 2:12 PM