KETUA Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar lokasi yang viral di media sosial baru-baru ini ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO BERNAMA
KETUA Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar lokasi yang viral di media sosial baru-baru ini ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


POLIS Johor akan melancarkan Pintasan Bersepadu Selatan minggu depan, dalam usaha mengekang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi baharu Pati itu hasil mesyuarat penyelarasan yang diadakan bersama Maritim Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.

"Minggu depan kita akan lancarkan Ops Pintasan Bersepadu Selatan, format baharu pemantauan di perairan negeri ini, pesisiran pantai sehingga ke daratan.

"Ia dilakukan bagi menyepadukan lagi pembahagian tugas serta mengelakkan pertindihan tugasan dalam memastikan negeri ini tidak dijadikan lubuk penyeludupan manusia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, seramai 18 tekong warga asing serta tempatan ditahan dalam dua serbuan di Kota Tinggi dan Iskandar Puteri, di sini, antara Selasa hingga awal pagi tadi.

Dalam dua serbuan berkenaan, seramai 29 (Pati) termasuk tiga kanak-kanak, berusia antara setahun sehingga 50 tahun yang menanti masa untuk diseludup keluar ke Indonesia turut ditahan.

Katanya, beberapa siri serbuan di Kota Tinggi dilakukan antara jam 6 petang Selasa lalu sehingga 3 petang semalam di kawasan Kota Tinggi dan Ulu Tiram, berjaya menahan tujuh tekong warga Indonesia dan seorang tekong warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 40 tahun.

Manakala, serbuan di Iskandar Puteri dijalankan antara jam 10 malam semalam hingga 3 pagi tadi pula, berjaya menahan 10 tekong membabitkan empat warga Indonesia, seorang warga Bangladesh, serta lima warga tempatan, berusia antara 28 hingga 68 tahun.

"Dalam serbuan di Kota Tinggi, polis turut merampas dua kereta dam sebuah pacuan empat roda, 16 telefon bimbit, wang tunai RM166 dan 10,000 rupiah.

"Manakala serbuan di Iskandar Puteri pula, polis merampas sebuah bot fiber, sebuah enjin, sebuah bas kilang, empat kereta, 11 telefon bimbit, sebilah pisau dan wang tunai RM950.

"Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini membabitkan rangkaian penyeludupan Pati menggunakan bas kilang dan teksi untuk mengangkut migran ke hentian sementara sebelum menunggu ketibaan bot di pesisiran pantai atau laluan tikus.

"Kita juga berjaya membongkar rangkaian sindiket ini bersubahat dengan hotel bajet di beberapa lokasi di Kota Tinggi dan Iskandar Puteri sebagai tempat tumpangan sementara sebelum dihantar ke tempat hentian menunggu bot, " katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis memberi amaran akan bertindak tegas kepada pengusaha hotel bajet, pengusaha bas kilang dan teksi berikutan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan Pati di negeri ini.

"Kita akan membatalkan lesen pengusaha hotel, pengusaha bas kilang dan teksi ini kerana bersubahat sekali gus menjadi pengkhianat negara," katanya.

Beliau berkata, semua 18 tekong berkenaan ditahan reman 28 hari bermula hari ini hingga 13 Mei nanti, manakala semua Pati pula direman 14 hari bermula hari ini sehingga 29 April.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,"

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 6:19 PM