Siti Rohana Idris

Tumpat: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan seperti ayam dan ikan mencukupi menjelang kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya sudah membuat persiapan awal bagi memastikan kesemua barangan terutama yang mendapat permintaan tinggi mencukupi.

"Setiap kali kedatangan perayaan, bukan sahaja Ramadan, kita memang membuat persiapan awal bagi memastikan bekalannya mencukupi untuk pengguna terutama ayam, daging dan ikan.

"Selain daripada pengeluaran dalam negara, kita juga mengimport dari negara luar dan setakat ini bekalan memang stabil dan mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program MAFI Prihatin Nelayan Parlimen Tumpat di Jeti Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tanjung Che Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Ahmad Hamzah (kanan) bersama Che Abdullah sedang melelong ikan yang dijual di Jeti Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tanjung Che Mas, sempena program MAFI Prihatin Nelayan Parlimen Tumpat hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Ahmad Hamzah (kanan) bersama Che Abdullah sedang melelong ikan yang dijual di Jeti Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tanjung Che Mas, sempena program MAFI Prihatin Nelayan Parlimen Tumpat hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Mengenai perkembangan masalah ketidakstabilan harga makanan haiwan ternakan yang didakwa meningkat, Ahmad berkata, pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian terbaik dan mengadakan pertemuan dengan pengeluar makanan ternakan terutama dedak ayam.

Menurutynya, negara mengimport bekalan makanan haiwan ternakan dan pada masa sama sedia maklum mengenai peningkatan harga yang cukup ketara.

"Kita sentiasa buat pemantauan dan pengusaha memberi jaminan bahawa setakat ini (mereka) tidak akan ambil\k apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan harga makanan itu.

"Kita sedang membuat beberapa usaha termasuk menghasilkan bijirin jagung bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan ternakan import," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 4:53 PM