PEKERJA wanita  disembur dengan alat pemadam api oleh sekumpulan lelaki  di Kampung Bujang, Merbok, semalam. FOTO IHSAN FACEBOOK
PEKERJA wanita disembur dengan alat pemadam api oleh sekumpulan lelaki di Kampung Bujang, Merbok, semalam. FOTO IHSAN FACEBOOK
Nor Farhani Che Ad


SEORANG pekerja pam minyak wanita berdepan detik cemas apabila disembur dengan alat pemadam api oleh sekumpulan lelaki yang melarikan peti wang stesen minyak berkenaan di Kampung Bujang, Merbok di Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 6.50 petang, kereta Mitsubishi Grandis berwarna hitam dipercayai dinaiki tiga lelaki memasuki stesen minyak sebelum seorang suspek menyembur alat pemadam api kepada pekerja wanita berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tindakan itu bagi mengaburi pandangan pekerja wanita itu bagi membolehkan mereka melarikan peti wang di stesen minyak terbabit.

“Pekerja wanita itu segera menyelamatkan diri sebelum seorang penumpang belakang kereta terbabit keluar dan menyambar peti wang berkenaan.

“Pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berkenaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan suspek tidak dapat dikenal pasti.

“Wajah suspek juga tidak jelas kelihatan berikutan ketika itu suspek memakai penutup mulut dan hidung,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Adzli berkata, kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000 iaitu membabitkan wang tunai dan juga sebuah telefon bimbit milik pekerja wanita terbabit yang turut berada di dalam peti wang berkenaan.

Katanya, pekerja wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati stesen minyak berkenaan hanya mempunyai dua pam minyak dan seorang pekerja dalam satu masa.

“Ketika ini polis sedang giat mengesan ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dan bersenjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 8:03 PM