Safuri Kamarudin


WANITA yang melahirkan bayi lelaki di dalam tandas stesen minyak di Baling, kelmarin ditahan di Balai Polis Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, wanita berusia 29 tahun itu ditahan pada 3.40 petang selepas tampil menyerah diri di balai polis.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek menafikan membuang bayi di dalam tandas stesen minyak itu dan memberitahu ketika kejadian dia datang dari Kulim membawa bapanya yang sakit berubat di Kupang, Baling.

"Bagamanapun pada 2 petang, dia singgah seorang diri di stesen minyak itu dan masuk ke dalam tandas untuk membuang air besar sebelum melahirkan bayi lelaki.

"Suspek kemudian menyerahkan bayi itu kepada pekerja stesen minyak itu dan memberitahu akan mengambil semula anaknya sebelum dia menjemput bapanya semula yang sedang berubat dan terus pulang ke Kulim," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shariffuddin berkata, suspek kemudian datang semula ke stesen minyak itu 3 petang semalam dan bertemu dengan pekerja itu yang memberitahu kepada suspek dia sudah membuat laporan polis.

"Siasatan mendapati suspek sudah mengandung April lalu hasil hubungan dengan bekas teman lelaki berusia 27 tahun berasal dari Pontian, Johor.

"Mereka sudah menjalinkan hubungan cinta selama empat tahun dan putus Januari lalu namun masih berkawan biasa.

"Keluarganya juga tidak mengetahui dirinya mengandung dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi berkenaan.

Harian Metro kelmarin melaporkan bayi lelaki baru lahir ditemui dalam tandas stesen pam minyak di Baling yang cuba dibuang ibunya.

Bagaimanapun, bayi itu diselamatkan selepas pekerja stesen pam minyak itu memujuk wanita itu supaya menyerahkan bayi kepadanya.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Ibu bayi dicari polis

Drama ibu cuba buang bayi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 8:12 PM