LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Nur Izzati Mohamad


“ANAK bongsu kepada arwah kakak selalu panggil saya mama, walaupun dia tidak faham apa yang sedang berlaku, saya tahu dia rindukan ibunya,” kata Noorlyana Hasan, 25, ibu saudara kepada lima beradik yatim piatu yang kematian ibu bapa mereka akibat kemalangan.

Noorlyana berkata, lima anak saudaranya, iaitu Nur Afni Nirwani Khairizul, 16; Nur Istana Nadira, 14; Nur Erna Nabila, 12; Nur Qurratul Ain, 7, dan Muhammad Khairi Zafran berusia hampir dua tahun masih bersedih, namun tetap kuat menjalani kehidupan.

Katanya, sebagai ibu saudara dia sayu apabila melihat wajah kelima-lima anak saudaranya selepas kematian kakak dan abang iparnya baru-baru ini, bagaimanapun tidak mahu sentiasa menunjukkan kesedihan itu demi menjaga emosi keluarga.

“Apa yang paling sedih apabila Muhammad Khairi sentiasa memanggil saya dengan gelaran mama.

“Dia tidak mengerti apa-apa kerana masih kecil tetapi saya tahu dia tercari-cari ibunya.

“Selama ini, saya memang sudah menganggap mereka berlima macam anak kandung saya kerana kami sangat rapat,” katanya, ketika dihubungi di Butterworth, hari ini.

LIMA anak kepada Zuriana Hassan,35 mengirimkan doa selepas pengebumian ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Bagan, Jermal, Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad
LIMA anak kepada Zuriana Hassan,35 mengirimkan doa selepas pengebumian ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Bagan, Jermal, Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad

Dalam kejadian 9 Februari lalu, motosikal yang ditunggangi ibu bapa kepada lima beradik itu terbabit kemalangan dipercayai dilanggar pemandu mabuk.

Kejadian menyebabkan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ahad lalu, lima beradik itu dikejutkan pula dengan perkhabaran duka apabila dimaklumkan bahawa ibu mereka, Zuriana Hasan, 35, sudah pergi buat selama-lamanya selepas dua bulan bertarung nyawa.

Menurut Noorlyana yang juga anak bongsu daripada lima beradik itu, dia bersyukur apabila mendapat panggilan bertali arus daripada individu yang mahu membantu anak saudaranya.

“Sejak abang ipar saya meninggal dunia sehingga kakak saya, saya kerap mendapat panggilan telefon yang menyatakan ingin membantu anak saudara saya.

“Alhamdulillah syukur sangat atas keprihatinan semua pihak dan kebaikan ini hanya Allah sahaja mampu membalasnya,” katanya.

Katanya, keadaan anak saudaranya kini baik dan berharap mereka terus bersemangat menjalani hidup pada masa akan datang.

Kepada yang ingin menyalurkan bantuan, boleh disumbakan ke akaun datuk anak yatim ini, Hasan Bin Ismail, di akaun Bank Islam, 07016027417252.

  • Berita berkaitan

    Ibu tinggal pesan jaga adik-adik [METROTV]

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 3:45 PM