OTHMAN (kiri) menyampaikan sumbangan kepada lima beradik yatim piatu di Bagan Jermal, Butterworth. FOTO IHSAN PERKESO
OTHMAN (kiri) menyampaikan sumbangan kepada lima beradik yatim piatu di Bagan Jermal, Butterworth. FOTO IHSAN PERKESO
Nur Izzati Mohamad


LIMA beradik yang kematian ibu bapa akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya kini menjadi anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Program Prihatin Keluarga Angkat (PROTEK).

Nur Afni Nirwani Khairizul, 16, dan adik-adiknya, Nur Istana Nadira, 14, Nur Erna Nabila, 12, Nur Qurratul Ain, 7, dan Muhammad Khairi Zafran, 2, sebelum ini kehilangan bapa Khairizul Mohamad Noor, 38, yang meninggal dunia pada 9 Februari lalu akibat kecederaan parah.

Mereka kemudian dikejutkan apabila ibu yang disayangi Zuriana Hasan, 35, turut pergi buat selama-lamanya selepas dua bulan koma ekoran kemalangan itu pada 1 pagi semalam.

Pengarah PERKESO Pulau Pinang,Othman Mohd Nordin berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan lima beradik itu sejak kemalangan tragis yang menimpa ibu bapa mereka.

“Kita mengambil tindakan pantas dengan menghubungi waris lima beradik ini untuk menghulurkan pertolongan sewajarnya.

“Sebelum ini, lima beradik itu menerima Pencen Penakat di atas kematian bapa mereka dan kini kita menghulurkan sedikit bantuan serta mengiktiraf kelima-lima mereka menjadi anak angkat PERKESO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain lima beradik itu, Othman berkata, pihaknya turut mengiktiraf empat individu berusia bawah 21 tahun sebagai anak angkat PERKESO.

“Ia membabitkan kes kematian seorang ibu tunggal akibat serangan jantung baru-baru ini dan meninggalkan enam waris.

“Semua waris ini adalah penerima pencen penakat atas kematian bapa mereka pada 2011. Selepas itu, empat waris yang masih di bawah usia 21 tahun menerima Faedah Pencen Penakat di atas kematian ibu mereka pula,” katanya.

Katanya, walaupun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak PERKESO komited dalam memastikan kebajikan waris kepada pencarum yang meninggal dunia dijaga dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 5:59 PM