KAKITANGAN KTMB menjalankan kerja mengalih gerabak sebuah tren kargo yg tergelincir di stesen KTM Tanjung Malim, hari ini. FOTO Ihsan KTMB.
KAKITANGAN KTMB menjalankan kerja mengalih gerabak sebuah tren kargo yg tergelincir di stesen KTM Tanjung Malim, hari ini. FOTO Ihsan KTMB.
Mahaizura Abd Malik


KAKITANGAN Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) giat menjalankan kerja pengalihan gerabak sebuah tren kargo yang tergelincir di Tanjung Malim, Perak pagi hari ini ke lokasi lebih selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, langkah itu bertujuan membolehkan kerja membaiki landasan dilakukan serta merta susulan insiden berkenaan.

Katanya, usaha itu juga bagi memastikan kelancaran operasi tren penumpang tidak terjejas apabila beroperasi sepenuhnya selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kejadian membabitkan enam gerabak terakhir sebuah tren kargo yang mempunyai 43 gerabak ketika sedang melalui Stesen Kereta Api Tanjung Malim, 6.55 pagi, hari ini.

“Tren terbabit membawa pelbagai barangan termasuk tekstil dan peralatan kejuruteraan terbabit dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Ipoh.

“Insiden itu mengakibatkan satu landasan terhalang, namun perkhidmatan tren penumpang yang masih beroperasi dalam tempoh PKP tidak terjejas dengan insiden itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mengesahkan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah dimaklumkan.

“Siasatan juga dijalankan ke atas pemandu tren dan pembantunya yang terbabit dalam insiden itu,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, sebuah lima gerabak tren kargo simen tergelincir di stesen terbabit hingga menyebabkan jalan ke Kampung Lambak ditutup sementara.

  • Lima gerabak tren kargo simen tergelincir
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 1:57 PM