ROSLI menampal notis penutupan pada pintu masuk sebuah syarikat pengutip sewa di Bukit Beruang kerana disyaki beroperasi tanpa kebenaran dalam Ops Tutup. FOTO BERNAMA
ROSLI menampal notis penutupan pada pintu masuk sebuah syarikat pengutip sewa di Bukit Beruang kerana disyaki beroperasi tanpa kebenaran dalam Ops Tutup. FOTO BERNAMA
BERNAMA

JABATAN Tenaga Kerja (JTK) Melaka menerima 396 aduan dan pertanyaan pelbagai isu daripada majikan, pekerja serta wakil syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga semalam.

Pengarah JTK Melaka, Rosli Jantan berkata, daripada jumlah itu, 214 aduan dan pertanyaan membabitkan isu gaji, 51 aduan mengenai cuti atau waktu kerja, 40 aduan pemberhentian, 39 aduan mengenai sektor dibenarkan dan 52 lain-lain aduan.

“Pada hari ini, dua premis iaitu syarikat pengutip sewa di Bukit Beruang dan syarikat perunding kewangan di Bukit Cina diarah tutup kerana beroperasi dalam tempoh PKP, sedangkan syarikat itu di bawah perkhidmatan penting dan sudah diberi peringatan sebelum ini.

“Namun, syarikat perunding kewangan itu masih berdegil dan majikan mengarahkan pekerjanya hadir secara bergilir-gilir dan beroperasi dengan menutup premis perniagaan seolah-olah ia ditutup,” katanya kepada pemberita selepas Ops Tutup di Melaka, hari ini.

Rosli berkata, majikan kedua-dua syarikat itu memberi pelbagai alasan termasuk syarikat beroperasi dan pekerja diarah bekerja bagi menyiapkan gaji pekerja selain memenuhi permintaan serta perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan.

Beliau berkata, arahan penutupan syarikat itu diambil mengikut Peraturan 5(2) dan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana beroperasi tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan.

Menurutnya, bagi kesalahan itu, majikan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Pemantauan dan serbuan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengesan majikan yang masih berdegil dan kami mengalu-alukan orang ramai termasuk pekerja syarikat untuk membuat aduan di talian 06-2345171.

“Syarikat hanya dibenarkan beroperasi pada 31 dan 1 hari bulan untuk menyelesaikan proses pembayaran gaji dan jumlah pekerja terhad satu hingga dua orang sahaja.

“Justeru, majikan digesa mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang PKP dan kita tidak akan bertolak-ansur lagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 9:30 PM