ROSLAN dan Rohana Wan Omar Faidzin pada sidang media di Jabatan Tenaga Kerja, Ayer Keroh. FOTO HASSAN OMAR
ROSLAN dan Rohana Wan Omar Faidzin pada sidang media di Jabatan Tenaga Kerja, Ayer Keroh. FOTO HASSAN OMAR

Hassan

SEGELINTIR majikan di Melaka dikesan mencuba memperdaya pekerja asing dengan mengenakan caj penginapan melebihi had dibenarkan iaitu melebihi RM50 sebulan.

Majikan terbabit mungkin menganggap pekerja asing tidak tahu hak mereka, bagaimanapun tindakan itu digagalkan pekerja terbabit yang semakin cerdik termasuk berhubung dengan rakan mereka di syarikat lain untuk membincangkan mengenai kadar caj berkenaan.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, Rosli Jantan berkata, kesalahan itu adalah antara 57 kes majikan didakwa kerana pelbagai kesalahan menyebabkan mereka didenda RM104,300 sepanjang tahun lalu.

“Pekerja asing sekarang boleh berhubung dengan rakan di syarikat lain untuk bincang berapa caj penginapan dikenakan majikan masing-masing dan apabila mendapati ada majikan mengenakan caj lebih RM50 mereka membuat aduan kepada JTK.

“Selain kes itu, kesalahan lain ialah majikan gagal melaporkan jumlah pekerja asing di tempat kerja mereka, lewat membayar gaji, gagal membayar gaji minimum RM1,100 dan seumpamanya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pejabat Tenaga Kerja negeri, Rohana Wan Omar Faidzin.

Rosli berkata, sebanyak RM1.04 juta dikutip Mahkamah Buruh berdasarkan perintah dikenakan terhadap majikan terbabit dalam 571 kes kesalahan seperti tidak membayar pampasan kepada pekerja diberhentikan, tidak membayar bayaran lebih masa dan seumpamanya.

Beliau berkata, sebanyak 633 kes difailkan dan 571 diselesaikan mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955 di Mahkamah Buruh.

“Selain itu, 371 kes aduan diterima daripada pekerja tahun lalu dengan 351 kes berjaya diselesaikan dan kebanyakan kes berkaitan majikan lawat membayar gaji dan gagal membayar gaji minimum mengikut Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955.

“Sebanyak 1,489 pemeriksaan berkanun dilakukan dengan peratusan pencapaian 103 peratus dan kebanyakan kes adalah majikan gagal menyimpan dan menyelenggara daftar pekerja, gagal menyediakan dan memberi kontrak perkhidmatan, gagal melaporkan penggajian dan penamatan pekerja asing dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 7:12 PM