PENGUAT kuasa bertanya kepada pekerja kedai makan yang disiasat. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
PENGUAT kuasa bertanya kepada pekerja kedai makan yang disiasat. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


RESTORAN terkenal di Kuala Perlis diserbu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kerana gagal menyimpan rekod Daftar Pekerja dan mengerah pekerjanya bekerja lebih masa.

Pengarah Standard Perburuhan JTK, Mohd Asri Abdul Wahab berkata, serbuan sempena Op Gempur semalam, turut mendapati majikan gagal menyediakan hak pekerjanya dan mengabaikan kebajikan mereka.

“Majikan terbabit mendakwa mempunyai 20 pekerja tetapi apabila ditunjukkan Daftar Pekerja, jumlah pekerja tidak sampai 20 orang malah ada dokumen pekerja yang tidak lengkap pun.

“Hasil siasatan JTK juga mendapati, pekerja diarah bekerja melebihi 12 jam seperti ditetapkan, merangkumi 8 jam waktu normal dan 4 jam waktu kerja lebih masa.

“Apabila disoal siasat, ada (pekerja) yang tidak diberi slip gaji, tidak mengetahui gaji sebenar, cuti bekerja yang tidak jelas dan tidak dinyatakan di dalam kontrak pekerjaan,” katanya pada sidang media di Kuala Perlis.

Mohd Asri berkata, tindakan majikan terbabit dianggap sebagai mengeksploitasi pekerjanya untuk kepentingan peribadi dan jelas melanggari Akta Pekerja 1955.

“Pihak kami akan membuka kertas siasatan dan tindakan lanjut akan dikenakan ke atas majikan itu mengikut akta berkenaan.

“Kita menggesa majikan untuk tidak memandang remeh perkara ini kerana ia sudah termaktub di dalam undang-undang khususnya mengenai kebajikan pekerja,” katanya.

Dalam operasi itu yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 12 premis diperiksa dengan 31 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 25 (a), 59, 60 (d), 60 (e), 60 (f) dan Peraturan Kerja 5 (b), 5 (c), 8 dan 9 Akta Kerja 1955.

Mohd Asri menjelaskan masih ada majikan di Perlis yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2018 iaitu RM1,100 yang ditetapkan oleh pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 2:01 PM