ANGGOTA penguat kuasa dengan bantuan Rela mengehadkan pelanggan dalam jumlah sedikit bagi memastikan jarak selamat di Pasar Besar Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA penguat kuasa dengan bantuan Rela mengehadkan pelanggan dalam jumlah sedikit bagi memastikan jarak selamat di Pasar Besar Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


KEKECOHAN antara peniaga dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Pasar Besar Alor Setar, semalam, selesai apabila jumlah kemasukan pengunjung ke premis itu dihadkan bermula hari ini.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa MBAS, Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, pihaknya turut meminta bantuan polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memantau pergerakan orang ramai.

Menurutnya, sebelum itu berlaku salah faham apabila anggotanya mengarahkan peniaga mengosongkan barangan perniagaan atau meja yang melebihi had dibenarkan.

“Keadaan itu disebabkan pelanggan berkumpul di meja terbabit dan tidak melakukan jarak sosial sejauh satu meter antara satu sama lain.

“Bagi mengelak keadaan sama berulang, MBAS bersama polis dan Rela melakukan pemeriksaan bagi memastikan peniaga dan pelanggan berada dalam keadaan jarak selamat,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, selain itu anggota penguat kuasa dan Rela juga hanya membenarkan pelanggan masuk ke dalam pasar dalam jumlah yang dihadkan supaya tidak terlalu ramai.

“Kita juga tidak membenarkan pelanggan yang tidak memakai penutup mulut dan hidung masuk ke dalam pasar sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:33 PM