Zuliaty Zulkiffli


PENIAGA buah ditahan reman empat hari bermula semalam, selepas mengacukan pisau kepada anggota penguat kuasa tempatan (PBT) di Pasar Teluk Wanjah, Alor Setar.

Peniaga berusia 50-an itu didakwa melakukan perbuatan itu ketika gerainya dihampiri anggota Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada 10.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan tahanan itu.

Katanya, peniaga berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan MBAS Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, tindakan penguatkuasaan terpaksa diambil ke atas peniaga itu kerana dia melanggar syarat lesen.

PETIKAN rakaman yang menunjukkan peniaga itu mengacukan pisau ke arah penguat kuasa.
PETIKAN rakaman yang menunjukkan peniaga itu mengacukan pisau ke arah penguat kuasa.

Katanya, peniaga itu sudah diberi dua notis namun, masih melakukan kesalahan sama iaitu menjaja melebihi tempoh dan menggunakan tapak niaga melebihi had, sehingga mengganggu tapak penjaja lain.

“Penguatkuasaan terpaksa diambil kerana dia ingkar dan ketika kejadian, anggota sepatutnya melakukan sitaan tetapi dia menghalang tugas sambil mengacukan pisau dan mengeluarkan ugutan selain berkata kesat.

“Berikutan itu, laporan polis dibuat dan tindakan sita ditangguhkan untuk mengelak ketegangan, sebaliknya kita meminta peniaga terbabit beredar dari tapak serta-merta,” katanya.

Ahmad Syaher berkata, anggotanya sentiasa bersedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya terutama dalam mengelak ketegangan serta kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan penjaja yang boleh mendatangkan bahaya wajar dikenakan hukuman mengikut undang-undang, supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:43 PM