DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Arkib NSTP
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 116 warga asing ditahan di sebuah kilang di Muar kerana berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat, tengah hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua warga asing itu kini ditahan kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, sebelum penahanan itu, polis menerima makluman awam mengenai tindakan warga asing berkenaan berkumpul dan pihaknya menghantar anggota bagi membuat pemeriksaan.

Katanya, polis mendapati 116 warga Pakistan, Bangladesh dan Indonesia yang mahu menunaikan solat Jumaat di kawasan bumbung kilang berkenaan.

“Kesemua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana mengingkari arahan PKP selain mengikut Akta Imigresen.

“Polis juga sedang menyiasat sama ada majikan mereka mengetahui tindakan mereka berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di premis kilang terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, jumlah tangkapan individu mengingkari PKP di Johor adalah seramai 149 orang hari ini, termasuk 116 warga asing berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai tujuh lagi jemaah tabligh Malaysia yang menghadiri Himpunan Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi Indonesia, tiba di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru, hari ini.

“Kesemua mereka sudah disaring Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan didapati negatif Covid-19.

“Mereka yang mempunyai kaitan kluster tabligh Masjid Jamek Seri Petaling, diarah menjalani kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya.

Semalam, lapan jemaah tabligh Malaysia daripada himpunan itu tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, namun kesemuanya turut didapati negatif Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin 14 hari di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:48 PM