LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menahan 49 lelaki yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menunaikan solat sunat Aidiladha berhampiran jalan raya di luar perkarangan Surau Taman Pelangi, Juru, di sini, pagi hari ini.

Tangkapan kesemua mereka yang membabitkan 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan itu dibuat di kawasan perumahan berkenaan sejurus polis menerima laporan berhubung insiden itu.

Penahanan itu juga disahkan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Difahamkan, kesemua mereka sekarang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 22 saat memaparkan ratusan warga asing yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya di luar perkarangan surau yang dirakamkan orang awam melalui kawasan terbabit.

Dalam video berkenaan mendapati, kesemua warga asing terbabit solat dalam keadaan penjarakan sosial, namun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sementara itu, Mohd Shuhaily dalam sidang media petang hari ini memaklumkan polis giat mengesan kira-kira 200 warga asing yang dipercayai melanggar SOP itu.

Beliau dipetik berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati perkara itu berlaku secara spontan selepas kesemua mereka tidak dibenarkan solat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya kepada 100 orang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Berita berkaitan

KDN arah Ketua Polis Pulau Pinang beri penjelasan

200 warga asing ingkar SOP solat Aidiladha luar perkarangan surau [METROTV]

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 10:24 PM