Essa Abu Yamin


SERAMAI 116 lelaki warga Pakistan, Bangladesh dan Indonesia didenda RM700 setiap seorang selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mendirikan solat Jumaat di bumbung sebuah kilang pada 27 Mac lalu.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah sebelum Majistret Zuraidah Abu Bakar menjatuhi hukuman terbabit terhadap tertuduh berusia 20 hingga 45 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didapati berhimpun dengan maksud keagamaan dengan cara menunaikan solat berjemaah di dalam kawasan tempatan jangkitan di sebuah kilang di Jalan Jeram, Muar pada jam 1.30 petang, 27 Mac lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

SERAMAI 116 warga asing yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Muar kerana PKP. FOTO Essa Abu Yamin
SERAMAI 116 warga asing yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Muar kerana PKP. FOTO Essa Abu Yamin

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dan Nur Syamim Fateha Mohd Amin.

Terdahulu, kesemua 116 warga asing yang tiba jam 9 pagi dikumpul di perkarangan mahkamah dengan memakai penutup hidung dan mulut.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik berkata, pihaknya menerima makluman awam mengenai tindakan warga asing berkenaan berkumpul sebelum menghantar anggota membuat pemeriksaan.

Polis kemudiannya menahan kumpulan warga asing terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:05 PM