FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Mamat


PEJABAT Mufti Melaka memberi kebenaran khas kepada semua premis kilang di negeri itu melaksanakan solat sunat Aidiladha disambut pada 31 Julai ini, khusus untuk pekerja warga asing.

Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa Melaka selepas mengambil kira golongan warga asing masih belum dibenarkan menunaikan solat di masjid atau surau sebagai langkah membendung penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pihak pengurusan kilang terbabit perlu membuat permohonan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi memastikan ibadat itu dapat diadakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Bagi pekerja dan warga asing, kami membenarkan mereka mendirikan solat sunat Aidiladha di kawasan kilang, namun pengusaha kilang perlu memberi ruang kepada pekerja warga asing beragama Islam seperti Bangladesh, Indonesia atau India.

"Pihak pengurusan kilang boleh membuat membuat permohonan kepada JAIM secepat mungkin," katanya dalam sidang medianya di pejabatnya di Pusat Islam, Bukit Palah, Melaka, hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan premis boleh menyediakan satu lokasi untuk membolehkan pekerja mendirikan solat sunat terbabit seperti di dewan atau memasang khemah di kawasan lapang.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya memberi kebenaran kepada semua 192 masjid dan 88 surau selain beberapa institusi serta sekolah pernah diberi tauliah solat Jumaat.

Katanya, surau di taman perumahan yang tidak mempunyai tauliah solat Jumaat boleh membuat permohonan untuk mengimarahkan sambutan Aidiladha dengan melaksanakan ibadat sunat itu di kawasan masing-masing.

"Mereka yang ingin menunaikan ibadah itu di rumah pula perlu memastikan SOP ditetapkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

"Saya mengingatkan orang ramai untuk bijak dalam menormalisasikan normal baharu ketika ini sepanjang perayaan, termasuk dalam sistem pengagihan daging korban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 5:24 PM