12 individu yang dipercayai berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah premis perniagaan di Taman Nirwana, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
12 individu yang dipercayai berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah premis perniagaan di Taman Nirwana, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Seramai 12 individu termasuk warga asing ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dipercayai berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah premis perniagaan di Taman Nirwana di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, kesemua individu itu terdiri daripada enam lelaki tempatan dan enam lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 60 tahun.

Menurutnya, sepasukan polis Ampang Jaya melakukan serbuan di premis berkenaan jam 1.30 tengah hari.

"Pemeriksaan mendapati 12 lelaki berada dalam premis sedang berkumpul untuk mengadakan solat Jumaat secara berjemaah.

"Siasatan mendapati kesemua mereka adalah pekerja di premis itu bagi syarikat pembersihan, kawalan keselamatan dan urusan kargo yang dimiliki warga tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan awal mendapati kesemua warga asing itu mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana menjalankan aktiviti tidak dibenarkan serta berkumpul dengan tidak menjaga penjarakan fizikal.

"Pemilik syarikat dikenakan kompaun RM11,500 manakala pekerja tempatan dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang," katanya.

Manakala, katanya, enam warga asing ditahan untuk siasatan lanjut.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 8:09 PM