BAS percuma di Negeri Sembilan dihentikan seketika. FOTO NSTP
BAS percuma di Negeri Sembilan dihentikan seketika. FOTO NSTP
BERNAMA

SEMUA operasi perkhidmatan ‘Bas Percuma’ di Negeri Sembilan akan dihentikan sementara bermula Jumaat ini hingga tarikh akan dimaklumkan kelak berikutan penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini berkata, tindakan itu wajar bagi mengurangkan pergerakan orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengekang ancaman Covid-19.

“Pemberhentian sementara perkhidmatan Bas Percuma ini akan membabitkan dua laluan di Seremban iaitu laluan KM Plaza ke Hospital Besar Tuanku Ja’afar dan laluan Terminal One ke Majlis Bandaraya Seremban ke UTC Ampangan.

“Manakala pemberhentian sementara perkhidmatan Bas Percuma di Jempol akan membabitkan laluan Terminal Bas Bandar Seri Jempol ke Taman Tunku Puan Chik,” katanya.

Katanya, kerajaan Negeri Sembilan amat mengharapkan kerjasama penduduk untuk mematuhi semua arahan kerajaan bagi membendung penularan wabak itu di Negeri Sembilan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:15 PM