MYBAS. FOTO Arkib NSTP
MYBAS. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju menyediakan 90 bas awam baharu untuk perkhidmatan bas berhenti-henti (MyBas) di seluruh Negeri Sembilan dan lima bas elektrik (EV) yang beroperasi di kawasan Seremban.

Ia sebahagian daripada usaha meningkatkan lagi tahap perkhidmatan pengangkutan awam di negeri itu.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, perkara itu sudah dimaklumkan Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan ketika membuat tinjauan operasi MyBas di Terminal 1 Seremban, baru-baru ini.

Katanya, dua operator baharu dilantik oleh MOT untuk mengendalikan perkhidmatan MyBas di seluruh negeri ini bermula 1 April lalu.

"Sehingga 30 Jun 2024, kedua-dua operator berkenaan akan menggunakan bas sedia ada dalam tempoh peralihan tiga bulan dan selepas itu akan ada lebih kurang 90 bas baharu untuk perkhidmatan MyBas ini selain lima bas EV sebagai percubaan.

"Setakat ini semua laluan seperti sebelum ini dikekalkan namun terdapat beberapa laluan yang tidak mendapat sambutan akan diteliti," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai berkata, beliau mendapat maklum balas daripada pengguna bas bahawa tempoh masa menunggu setiap laluan yang terlalu lama menjadi salah satu punca orang ramai tidak tertarik menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji faktor berkenaan dan akan dibawa ke peringkat MOT untuk perbincangan lanjut.

"Kita akan mengkaji perkara ini dan faktor lain untuk dibawa ke peringkat MOT bagi melakukan penambahbaikan terhadap perkhidmatan MyBas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 3:14 PM