Ahmad Hasbi

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan menilai untuk memperluaskan inisiatif perkhidmatan bas percuma khusus untuk pelajar sekolah di negeri itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Kerajaan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bagi membantu meringankan beban ibu bapa menanggung persekolahan anak.

Ini kerana, katanya, antara kos paling tinggi yang perlu ditanggung ibu bapa bagi persekolahan anak mereka adalah pengangkutan.

"Kita sedia maklum antara kos paling tinggi yang perlu ditanggung ibu bapa selain menyediakan seragam sekolah ialah kos pengangkutan menghantar anak ke sekolah.

"Jadi kita sedang mengkaji bagaimana boleh membantu meringankan beban ibu bapa terutama golongan B40 dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Platform Al-Jariyah di Surau Taman Dato Wan, di sini, hari ini.

Mohamad Rafie berkata, perkhidmatan bas percuma yang disediakan kerajaan negeri ketika ini dapat dimanfaatkan sebaiknya sekiranya ia turut digunakan untuk menghantar pelajar ke sekolah.

Beliau berkata, pihaknya menyedari komitmen yuran bas sekolah yang perlu ditanggung setiap bulan dilihat agak membebankan bagi sesetengah ibu bapa menyebabkan mereka terpaksa menghantar sendiri sekali gus menimbulkan masalah kesesakan pula.

"Inisiatif bas percuma sudah disediakan sejak 2019 dan ia bermula di Seremban. Kini laluan perkhidmatan itu sudah pun ditambah.

"Jadi kita sedang fikirkan bagaimana untuk kita gunakan bas ini untuk menghantar anak ke sekolah pula sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di sekolah ," katanya.

Mohamad Rafie berpendapat, perkara itu perlu diberi tumpuan kerana keupayaan menyediakan kemudahan pendidikan untuk anak adalah pelaburan masa depan.

Kali pertama kerajaan negeri melancarkan perkhidmatan bas percuma di Bandar Seremban pada tahun 2019 dan kini mempunyai tiga laluan membabitkan dua daerah iaitu Seremban dan Jempol.

Bas percuma ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 10 malam, manakala pada hari Sabtu, Ahad serta cuti umum, bas akan beroperasi bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 6:08 PM
MOHD Rofik (kiri) menyampaikan memorandum kepada J Arul Kumar (tengah) pada Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham
MOHD Rofik (kiri) menyampaikan memorandum kepada J Arul Kumar (tengah) pada Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham