ANGGOTA polis dibantu anggota tentera darat menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani penularan Covid-19 ketika sekatan jalan raya di Lebuhraya Guthrie menuju Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
ANGGOTA polis dibantu anggota tentera darat menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani penularan Covid-19 ketika sekatan jalan raya di Lebuhraya Guthrie menuju Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

PERLIS hari ini mengumumkan 17 insentif khas bagi meringankan beban rakyat di negeri itu yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan kerajaan negeri itu hari ini, insentif berkenaan juga adalah bagi membantu rakyat Perlis yang hilang punca pendapatan akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac.

“Kerajaan negeri akan meneruskan insentif menyediakan keperluan bekalan makanan asas harian sepanjang tahun kepada rakyat yang menghadapi kesulitan hidup, termasuk dalam tempoh PKP, di bawah Program Agihan Makanan Asas (PAMA) dan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diberi peruntukan RM10,000 secara ‘one-off’ untuk pelbagai bantuan segera kepada rakyat di kawasan DUN masing-masing,” katanya.

Kenyataan itu menyebut bahawa potongan sewa gerai sebanyak 50 peratus diberikan kepada semua peniaga kecil yang menyewa gerai Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis, Bahagian Pentadbiran Daerah dan Bahagian Perumahan bagi bulan Mac yang bakal memanfaatkan sejumlah 1,487 peniaga.

Bayaran sewa bulanan Program Perumahan Rakyat (PPR) pula dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi Mac dan April tahun ini selain pembayaran untuk kedua-dua bulan ditangguhkan sehingga Mei manakala bayaran ansuran sewa beli Rancangan Perumahan Awam (RPA) bagi Mac dan April 2020 turut ditangguh, menurut kenyataan itu.

Kerajaan negeri turut melanjutkan Skim Galakan Pembayaran Cukai Tanah dengan rebat lapan peratus bagi tanah pertanian, lima peratus bagi tanah bangunan dan tiga peratus bagi tanah industri sehingga 31 Mei yang membabitkan 40,000 pemilik.

Kerajaan negeri juga memberikan pengecualian sewa tapak bagi pasar malam dan pasar sehari di bawah kelolaan MPK bagi bulan April 2020 membabitkan 2,104 peniaga manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), melalui Pusat Operasi FAMA, membantu memasarkan produk pertanian komoditi terpilih termasuk mangga Harum Manis secara online bagi petani yang berdepan kesukaran dari segi pemasaran sepanjang tempoh PKP.

Kenyataan itu menyebut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM174,500 bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan makanan asas sepanjang tempoh PKP manakala bayaran bantuan kebajikan bulanan kepada 8,775 penerima di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipercepatkan sebelum 25 Mac, yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM2.4 juta.

Menurut kenyataan itu, Perlis juga bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran di bawah kerajaan negeri bagi Mac dan April.

Pesakit yang positif Covid-19 pula akan menerima bantuan one-off RM1,000 manakala bagi pesakit Covid-19 yang meninggal dunia, keluarganya akan diberikan wang tunai berjumlah RM2,000.

Kerajaan negeri juga bersetuju menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas harian kepada petugas barisan hadapan dan pesakit dalam siasatan (PUI) di pusat-pusat kuarantin Covid-19 yang diselaraskan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Perlis, katanya.

Selain itu, kakitangan awam di bawah Skim Pekerja Sambilan Harian (PSH) serta Pekerja Pembersihan PPRT akan dibayar gaji penuh dalam tempoh PKP dan bayaran gaji awal kepada 1,200 kakitangan awam negeri pada 23 Mac.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 9:21 PM