TINJAUAN di Masjid Seri Petaling FOTO Aswadi Alias
TINJAUAN di Masjid Seri Petaling FOTO Aswadi Alias
Omar Ahmad


POLIS giat mengesan 75 jemaah tabligh di Johor, termasuk warga asing yang pernah menghadiri Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Seri Petaling di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, jemaah tabligh itu membabitkan 28 warga tempatan, warga Bangladesh (29), etnik Rohingya (10) dan warga Thailand (8).

Beliau berkata, pihaknya berusaha mengesan individu terbabit dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Pejabat Daerah bagi memastikan mereka menjalani ujian saringan koronavirus baharu (Covid-19).

Menurutnya, polis ada senarai individu terbabit, tetapi tidak lengkap kerana pimpinan tabligh di Seri Petaling juga tiada senarai nama lengkap mereka yang menghadiri perhimpunan itu.

“Saya juga menyeru mereka menyerahkan diri dan membuat pemeriksaan saringan kesihatan di hospital berdekatan secepat mungkin, mereka perlu ada rasa tanggungjawab.

“Sepatutnya mereka ini perlu pergi ke klinik atau hospital buat saringan, sama ada mereka dijangkiti Covid-19 atau tidak, itu soal kedua”, katanya pada sidang media selepas lawatan ke lokasi Op Covid-19 di Jalan Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan berkata, keseluruhan jemaah tabligh di Johor adalah seramai 1,450 orang dan 1,375 daripada jumlah itu sudah dikesan serta menjalani saringan kesihatan.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,346 orang didapati negatif manakala 29 positif, 1 maut dan 1 kritikal,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 3:47 PM