KUALA LUMPUR 12 MAC 2020. Suasana di perkarangan masjid susulan kejadian dua orang peserta yang menghadiri 'ijtimak tabligh' di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu positif Covid-19. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 12 MAC 2020. Suasana di perkarangan masjid susulan kejadian dua orang peserta yang menghadiri 'ijtimak tabligh' di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu positif Covid-19. NSTP/ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mula memburu baki kira-kira 3,800 jemaah tabligh yang dikenal pasti seluruh negara masih belum menjalani ujian saringan koronavirus baharu (Covid-19).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis sudah mempunyai senarai nama lengkap jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur, akhir bulan lalu.

“Lebih 3,800 jemaah tabligh ini bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi terdiri daripada etnik Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Mereka tidak perlu takut untuk tampil ke hospital menjalani ujian saringan, walaupun tidak mempunyai pasport… yang penting mereka dapat diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan sekatan jalan raya pada penugasan Op Joint Patrol Covid-19 PDRM ATM di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, turut menasihatkan jemaah tabligh terbabit untuk tampil sebelum polis mengesan mereka di kediaman masing-masing.

Setakat ini, 14 kematian akibat Covid-19 direkod, dan daripada jumlah itu lapan daripadanya daripada kluster perhimpunan tabligh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:45 PM