Suraya Roslan


PENDATANG asing terutama dari Rohingya yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dirayu tampil membuat saringan ujian kesihatan Covid-19.

Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun tiada sebarang dokumen mereka tidak akan ditangkap kerana keutamaan ketika ini adalah kesihatan.

“Jemaah tabligh bukan rakyat Malaysia terutama pendatang asing mungkin sedang menyorok disebabkan tiada dokumen perjalanan yang sah, kita mohon mereka keluar dan menjalani saringan kesihatan.

“Ketika ini, kita tidak fokus mengenai dokumen perjalanan mereka, hanya mahu mengetahui sama ada mereka bersih daripada Covid-19 atau tidak, selepas saringan pun paling ekstrim (tindakan) kita minta kuarantin,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Ditanya mengenai jemaah tabligh yang masih enggan tampil ke depan, Ismail Sabri berkata, ketika ini polis sudah mengenalpasti individu terbabit dan akan ke rumah mereka.

“Jemaah berkenaan tolonglah tampil ke depan, ini bukan saja membahayakan nyawa mereka tetapi ahli keluarga juga seperti kes kematian di Sarawak,” katanya.

Berdasarkan rekod Pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia menunjukkan 20 warga Rohingya dan 150 Myanmar menghadiri perhimpunan ijtimak tabligh itu pada 27 Mac hingga 1 Februari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 2:23 PM
    TINJAUAN jemaah dan aktiviti di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu. FOTO Aswadi Alias
    TINJAUAN jemaah dan aktiviti di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu. FOTO Aswadi Alias