DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg melancarkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg melancarkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


KERAJAAN Sarawak hari ini mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM1.15 bilion sebagai suntikan ekonomi akibat penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang itu mengandungi 16 inisiatif turut meliputi bantuan kepada barisan hadapan atau frontliner serta rakyat, khususnya peniaga yang terjejas.

Beliau berkata, daripada RM1.15 bilion itu, sejumlah RM974.75 juta membabitkan perbelanjaan langsung oleh kerajaan Sarawak untuk mengurangkan impak kelembapan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat.

“Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang merangkumi penangguhan pembayaran balik pinjaman, pengecualian dari pembayaran dan diskaun perkhidmatan asas kerajaan negeri Sarawak berjumlah RM179.79 juta untuk 2020.

“Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang memberi tumpuan untuk mengurangkan kesan Covid-19 dan melindungi kesejahteraan rakyat Sarawak melalui 16 langkah proaktif yang disasarkan kepada kakitangan barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan yang ketika ini memerlukan paling banyak sokongan,” katanya pada sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya, hari ini.

Abang Johari berkata, pendekatan pertama dalam pakej berkenaan ialah diskaun 5 peratus hingga 25 peratus bil elektrik bulanan mulai April hingga September ini yang memberi manfaat kepada 686,847 pengguna domestik, komersial dan perindustrian dengan kos purata untuk elektrik bulanan diskaun bil adalah RM27.8 juta dan kos kumulatif diskaun berjumlah RM166.8 juta.

Pendekatan kedua pula diskaun 10 peratus hingga 25 peratus bil air untuk bulan April hingga September ini yang memberi manfaat kepada 568,247 pengguna dengan kos purata untuk diskaun bil bulanan air adalah kira-kira RM4.2 juta dan kos kumulatif diskaun adalah RM25.26 juta.

Dalam pendekatan ketiga pula, seramai 430,000 rakyat Sarawak dari kategori berpendapatan rendah kumpulan B40 akan menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM250 untuk enam bulan dengan peruntukan disediakan kerajaan Sarawak berjumlah RM645 juta.

Pendekatan keempat memfokuskan kepada individu yang terbabit sebagai baris hadapan yang menguruskan wabak Covid-19 di Sarawak dengan insentif khas sebanyak RM300 disediakan kepada doktor perubatan, jururawat dan kakitangan perubatan, bantuan RM200 kepada pegawai imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM17.35 juta.

Pendekatan kelima pula, diskaun 50 peratus untuk sewa gerai bagi tempoh enam bulan, pendekatan keenam pula pengecualian pembayaran permit dan lesen niaga bagi penjaja, peniaga pasar malam, pasar tamu dan bazar Ramadan, manakala pendekatan ketujuh diskaun 25 peratus penilaian melebihi RM400 untuk cukai kediaman, komersial dan perindustrian.

Pendekatan kelapan pula, menangguhkannya bayaran balik pinjaman selama sembilan bulan berkuat kuasa dari April 2020 bagi Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), manakala pendekatan kesembilan menawarkan tambahan 20 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pendekatan ke-10, diskaun 30 peratus untuk bayaran sewa tanah.

Pendekatan ke-11, kerajaan Sarawak menangguhkan sekali pembayaran premium tanah, manakala ke-12 pula pengecualian sekali bayaran pelesenan hotel dan ke-13 membabitkan pemberian dua juta topeng hidung dan mulut percuma kepada rakyat Sarawak.

Pendekatan ke-14, menyediakan sokongan khusus kepada petugas barisan hadapan yang menjalankan ujian, diagnosis, dan merawat pesakit berisiko Covid-19, manakala pendekatan ke-15 pula menyediakan bekalan makanan kepada petugas barisan hadapan dan pendekatan ke-16, diskaun 50 peratus untuk enam bulan bagi sewa perumahan HDC.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 6:32 PM