BANDAR Kangar lenggang. FOTO arkib NSTP
BANDAR Kangar lenggang. FOTO arkib NSTP
Aizat Sharif


Kangar: Langkah awal yang proaktif tanpa banyak birokrasi oleh kerajaan negeri dilihat antara faktor menjadikan Perlis kekal tanpa kes penularan jangkitan Covid-19 di saat negara merekodkan jumlah kes positif tertinggi iaitu 11,079 kes.

Peranan itu turut membabitkan petugas barisan hadapan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh orang ramai.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof berkata, walaupun begitu, beliau tetap berharap agar kes penularan jangkitan di negara ini berkurang agar semuanya dapat kembali normal.

"Secara umumnya, saya berpandangan, kesedaran terhadap pematuhan SOP dan kawalan kendiri begitu tinggi dalam kalangan rakyat Perlis.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Perlis, Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Mengenai Pengurusan Pandemik Covid-19 melaporkan, lebih 90 peratus patuh pada SOP," katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, sebagai contoh, semasa PKP dikuatkuasakan pada 22 Januari sehingga 4 Februari lalu, pematuhan SOP di Perlis adalah 97 peratus serta jauh lebih baik berbanding semasa musim cuti sekolah pada Disember tahun lalu.

"Kerajaan negeri mengambil beberapa pendekatan dalam mengawal penularan pandemik seperti Program Agihan Makanan Asas (Pama) kepada golongan sasar.

"Pembabitan komuniti melalui Program Agent Basmi Covid-19 (ABC19) dengan memperkasa pemimpin masyarakat dan sukarelawan untuk menjadi ejen perubahan yang menyebarkan amalan norma baharu dalam masyarakat," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Perlis berkata, kerajaan negeri juga menerima pandangan rakyat berkaitan program yang perlu ditangguhkan.

"Antaranya Pesta Angin Timur pada Februari dan Mac tahun ini, Perlis Marathon pada April serta Pesta Air Perlis pada Oktober dan November," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 8:00 PM