Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Pemandu lori tangki membawa muatan minyak sawit cedera selepas lori dipandunya terbalik sebaik menuruni Bukit Tangga di Jalan Kuala Klawang-Seremban, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, lelaki berusia 30-an yang membawa muatan minyak sawit 20,000 liter dipercayai gagal mengawal lori tangkinya apabila melalui selekoh tajam ketika menuruni bukit.

Difahamkan, kemalangan itu turut membabitkan kereta dipandu lelaki berusia 30-an yang berada di belakang lori tangki berkenaan dan gagal mengelak menyebabkan berlaku rempuhan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Razali Abd Kadir berkata, 16 anggota dengan dua jentera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 1 petang.

"Sebaik tiba, pemandu lori masih tersepit kerana keadaan lori yang terbalik. Kami mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan mangsa. Manakala pemandu kereta berjaya dikeluarkan orang awam. Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan.

"Kemalangan itu turut menyebabkan berlaku tumpahan minyak yang mengalir atas jalan raya sejauh dua kilometer. Bomba meneruskan operasi membersihkan tumpahan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 5:19 PM