ANGGOTA Hazmat menjalankan kerja-kerja mengawal kemerebakan bahan berkenaan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA Hazmat menjalankan kerja-kerja mengawal kemerebakan bahan berkenaan. FOTO ihsan bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


Tapah: Lori tangki membawa muatan asid hidroklorik terbabas serta mengakibatkan tangki mengalami kebocoran di kilometer 324 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di sini, 11.15 malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Yahya Madis berkata, lori tangki berkenaan membawa 25,000 liter asid hidroklorik dipercayai terbabas sendiri di tepi lebuhraya sebelum tangkinya mengalami kebocoran.

Katanya, akibat kebocoran itu menyebabkan pengeluaran wap gas yang banyak sebelum anggota menerima panggilan jam 11.31 malam bergegas ke lokasi dan melakukan kerja-kerja mengawal bahan berkenaan daripada merebak.

"Kerja-kerja mengawal bahan kimia itu dijalankan Pasukan Hazmat (Unit Bahan Berbahaya) Balai Bomba Pasir Puteh serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Gopeng dan Simpang Pulai.

"Anggota Hazmat kemudiannya berjaya menutup 'valve’ di bahagian atas tangki berkenaan, manakala soda ash digunakan untuk meneutralkan bahan berkenaan," katanya.

Yahya berkata, anggota berjaya mengawal gas berkenaan daripada merebak jam 1.55 pagi hari ini dan pihak syarikat lori berkenaan juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 7:49 AM