Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan minyak masak yang tumpah di Plaza Tol Juru, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara. FOTO Ihsan JBPM
Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan minyak masak yang tumpah di Plaza Tol Juru, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Lori tangki membawa muatan minyak masak mengalami kebocoran selepas terbabit kemalangan di Plaza Tol Juru, arah utara, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, pemandu lori berusia 50-an dilaporkan melanggar sisi tiang rumah tol hingga menyebabkan muatan minyak masak tumpah akibat berlaku kebocoran pada tangki.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dikejarkan ke lokasi kejadian untuk bantuan.

"Sebaik tiba didapati terdapat kebocoran minyak masak dari sebuah lori tangki bermuatan 20,000 liter disebabkan kenderaan itu melanggar tiang sisi rumah tol.

"Pasukan bomba bersama Squad Response Team PLUS menjalankan kerja-kerja proses menghentikan kebocoran pada tangki itu, dan melakukan pembersihan di kawasan tumpahan minyak sehingga selesai," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pemandu lori yang mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan mengenai kejadian tumpahan minyak berkenaan.

Difahamkan, insiden itu mengakibatkan aliran trafik sesak sejauh kira-kira tiga kilometer (km).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 3:41 PM