ANGGOTA bomba melancarkan gerakan mencari dan menyelamat seorang lelaki OKU yang dikhuatiri hilang di Kampung Simpok,Padawan. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba melancarkan gerakan mencari dan menyelamat seorang lelaki OKU yang dikhuatiri hilang di Kampung Simpok,Padawan. FOTO IHSAN BOMBA
Norsyazwani Nasri


SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri hilang selepas kali terakhir dilihat di atas jambatan di Kampung Simpok, Padawan, petang tadi.

Mac Aloysious Gago, 25, kali terakhir dilihat berada di atas jambatan itu hanya memakai berseluar pendek berwarna hitam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.54 petang.

“Pusat kawalan Siburan terima panggilan memaklumkan ada lelaki OKU dikhuatiri hilang dan kali terakhir dilihat bermain atas jambatan,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pasukan penyelamat dibahagi kepada dua pasukan yang turut disertai unit K9 memulakan pencarian dalam radius 1.7 kilometer menyusuri Sungai Simpok.

“Pencarian juga dilakukan bersama ibu OKU terbabit di sekitar kampung,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai polis dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok itu ditangguhkan jam 7 malam tadi dan akan disambung pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 8:58 PM