OPERASI pencarian membabitkan 35 pegawai dan anggota polis, bomba dan APM. FOTO ihsan Bomba
OPERASI pencarian membabitkan 35 pegawai dan anggota polis, bomba dan APM. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


KANAK-KANAK perempuan yang dilaporkan hilang di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Baru Bidor Stesen, Bidor, hari ini, ditemui dalam keadaan selamat namun lemah beberapa jam kemudian di ladang sama.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 11.27 pagi sebelum pihak berkuasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Difahamkan kanak-kanak dikenali sebagai Mitra itu hilang ketika mengikut keluarganya memunggut kelapa sawit di ladang terbabit.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kehilangan kanak-kanak itu daripada ibunya, P Punitha, 30, dan susulan itu SAR dijalankan pada 12.30 tengah hari tadi.

“Operasi pencarian membabitkan 35 pegawai dan anggota terdiri daripada 21 orang polis, lapan bomba dan enam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tapah.

“Pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd Razali Abdullah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kanak-kanak yang hilang itu berjaya dijumpai dalam keadaan selamat di kawasan semak ladang kelapa sawit kira-kira 1.5 kilometer dari tempat terakhir dia dilihat pada 1.45 tengah hari tadi.

“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh APM sebelum dibawa ke Hospital Tapah bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi pencarian kanak-kanak itu disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor.

“Mangsa berjaya ditemui oleh anggota polis dalam keadaan lemah dan terdapat kesan lebam di kaki kiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 4:29 PM