Muhamaad Razis Ismail


KANAK-KANAK lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika memancing di kolam takungan air, Kampung Pasir Kota di Kota Bharu, semalam.

Difahamkan, kehilangan Muhamad Aqil Darwisy Mohamad Noor, 11, disedari keluarganya selepas tidak pulang ke rumah pada 8 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darulnaim, Mohd Ridzuan Ali berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan pada 11.50 malam.

“Maklumat awal daripada saksi mengatakan mangsa tidak dapat dikesan pada 3 petang dan keluarga hanya menyedari kehilangannya pada 8 malam.

“Pencarian dibuat di kawasan sekitar sebelum menemui selipar mangsa berhampiran lokasi kejadian.

“Pencarian diteruskan sehingga 11 malam sebelum keluarganya membuat laporan polis pada 11.30 malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, susulan laporan itu, pihaknya menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, 10 anggota dari BBP Darulnaim memulakan operasi itu pada 9 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 10:24 AM
Hazilawati Abdul Hamid, 39 menunjukkan gambar Muhamad Aqil Darwisy Mohamad Noor, 11 yang dikhuatiri lemas selepas hilang ketika memancing. FOTO ZAMAN HURI ISA
Hazilawati Abdul Hamid, 39 menunjukkan gambar Muhamad Aqil Darwisy Mohamad Noor, 11 yang dikhuatiri lemas selepas hilang ketika memancing. FOTO ZAMAN HURI ISA